6 Makanan Popular Bazar Ramadhan
Ketahui bagaimana anda pastikan pelanggan Muslim dan penggemar makanan sentiasa kembali untuk dapatkan lebih!

Bazar-bazar Ramadhan merupakan destinasi popular pencinta makanan, sama ada mereka yang mencari sesuatu yang mudah dimakan atau sesuatu yang lain daripada yang lain. Biasalah melihat orang ramai berduyun-duyun dan berpeluh-peluh mencari makanan yang lazat. Dari juadah klasik ke hidangan serba baharu, pastinya ada sesuatu untuk semua! Ini antara makanan wajib di mana-mana bazar Ramadhan:

1. Kepak Ayam BBQ
Tiada yang lebih meliurkan selain deretan kepak ayam yang berdesir di atas pemanggang yang merah panas, dengan jus ayam yang menitis di atas batu arang sambil mengeluarkan haruman yang cukup menggiurkan. Keringkasan makanan ini membuka peluang kepada tukang masak untuk menyediakannya dengan pelbagai cara kreatif untuk menarik pelanggan. Tak hairanlah kepak-kepak ini berterbangan masuk ke dalam bakul-bakul pelawat-pelawat bazar Ramadhan!

2. Goreng-gorengan
Rakyat Malaysia dengan makanan bergoreng bagai lagu dengan irama—tak dapat dipisahkan. Juadah kegemaran seperti pisang goreng, keropok, dan cucur udang pastinya wajib di mana-mana bazar Ramadhan. Juadah-juadah ini adalah pembuka selera yang ideal bila berbuka nanti. Itulah sebabnya mereka begitu popular dengan orang ramai.

3. Murtabak
Pengaruh Timur Tengah telah membanjiri Malaysia dengan bermacam-macam juadah yang enak. Antaranya ialah murtabak, lempeng yang biasanya disediakan dengan daging atau ayam cincang, dimasak dengan telur, bawang putih, dan bawang. Lempeng ini dilipat dan digoreng di atas kuali rata sehingga perang keemasan. Harumannya yang sungguh tak terkata pasti menggamit pelanggan-pelanggan yang lapar ke gerai anda.

4. Sate
Juadah yang biasa di mana-mana bazar makanan, sate yang hebat mempunyai keseimbangan antara panggangan daging empuk yang sempurna serta lemak yang meliurkan pada satu batang. Bila dibuat dengan betul, harumannya pasti membuatkan orang ramai beratur panjang. Dalam pada itu, jangan lupa teman-temannya—kuah kacang yang pekat lazat, timun, serta bawang merah.

5. Kebab
Bagi mereka yang rambang mata, tak tahu juadah yang mana nak dibeli di bazar Ramadhan, kebab biasanya menjadi pilihan yang mudah. Disebabkan ia dipanggang selapis demi selapis, dagingnya empuk dan tidak terlebih masak. Ia biasanya diapit dalam roti pita yang suam dan lembut di samping sayuran dan sos cili serta mayonis. Tapi ada juga bahan-bahan lain serta dressing yang boleh menaikkan selera pelanggan anda. Antara bahan-bahan yang anda boleh gunakan secara kreatif termasuklah buah-buahan seperti mangga dan nanas, atau taburan keju parmesan untuk menaikkan rasa dan kepekatan intinya.

6. Ayam Percik
Siapa yang tak tahu ayam percik? Ayam yang biasa dijadikan berkali-kali lebih istimewa dengan perapan percik. Apa rahsianya? Ayam diperap semalaman dengan santan, serbuk kunyit, serai, herba-herba, dan rempah ratus, sebelum dicucuk dan dipanggang di atas arang yang merah panas. Proses penyediaannya mungkin agak leceh, tetapi hasilnya cukup lumayan. Lihat saja para pelanggan anda beratur, mata terbeliak, mulut terliur. Kemudian nantikan mereka yang sama kembali pada hari-hari seterusnya untuk melepaskan geram bagi berbuka puasa.

Sebagai pengusaha makanan, kami cadangkan anda meminta maklum balas para pelanggan anda dari masa ke masa, supaya anda tahu juadah mana yang paling hangat di pasaran, dan yang mana memerlukan pembaharuan. Ingatlah, bila juadahnya enak dan harga jualan berpatutan, barulah makin ramai pelanggan datang!
Kembali kepada Ramadhan
Rencana berkaitan
Here's what you get
- A chance to join our free sampling promotions
- New dish ideas from our chefs
- The latest trends and training modules